Friday, 28 November 2008

Gagah Semasa Hamil...

Masyarakat sering mengaitkan wanita hamil dengan fenomena letih, gemuk, berat dan sebagainya. Faktor ini mungkin disebabkan wanita hamil sendiri yang menonjolkan imej sebegitu rupa di khalayak. Walhal, wanita hamil boleh tampil cergas dan “gagah” biarpun mereka sedang sarat mengandung malah terpaksa pula bekerja di pejabat seperti individu lain.

Mengandung merupakan suatu proses semulajadi yang dialami oleh wanita normal yang telah berumahtangga. Selepas persenyawaan berlaku diikuti dengan beberapa proses lahiriah, maka wanita hamil akan mengalami pelbagai peringkat sewaktu tempoh kehamilan mereka itu.
Apabila disahkan hamil, janin atau embrio dalam uterus anda akan membesar hari demi hari. Bermula daripada sekecil biji anggur ia akan membesar berkali-kali ganda hingga kadang-kadang mencecah berat lima kilogram beras. Proses pembesaran inilah yang membuatkan tubuh badan wanita hamil berubah, mengembang dan menjalani proses kematangan yang tertentu. Selama sembilan bulan berikutnya semua organ dalam badan wanita hamil seperti hati, paru-paru, darah, payu dara, sistem penghadaman, buah pinggang, kulit dan sudah tentunya uterus akan mengalami perubahan yang besar.

Perubahan ini berlaku apabila kandungan hormon dalam badan seperti progesteron bertindak balas dengan tubuh badan wanita hamil. Soalnya, bagaimana anda ingin kelihatan gagah biarpun anda terpaksa mengusung perut yang memboyot ke sana dan ke mari? Rahsianya mudah sahaja. Anda perlu faham kitaran kehamilan anda sendiri dan berusaha untuk mengatasi segala masalah dengan bijak.

Bermulanya sebuah kisah...Jika sebelum mengandung, perut anda kelihatan begitu ramping. Kini setelah anda mengandung sebulan, dua atau tiga bulan dan seterusnya, perut anda akan kelihatan sedikit menonjol dan berisi. Walau bagaimanapun, saiz perut ini terpulang kepada individu. Ada wanita yang perutnya kelihatan sangat kecil malah seperti tidak mengandung biarpun sedang hamil lima bulan. Ini mungkin disebabkan faktor genetik ataupun tulang selangka mereka yang memang kecil dan molek.

Tip yang boleh diamalkan di sini ialah meminta pasangan anda mengambil gambar anda bermula bulan pertama kandungan sehinggalah bulan kesembilan. Secara psikologinya, jika anda mempunyai turutan foto anda sebegini, anda mungkin tidak terasa sangat keletihan ekoran mengandung. Maka dengan sendirinya anda akan berasa selesa dan cergas sentiasa.

Hati membesar

Organ hati wanita hamil akan membesar sewaktu mengandung kerana hati terpaksa bekerja keras mengepam lebihan darah dalam badan. Pada ketika ini, denyutan jantung akan bertambah dan organ hati wanita hamil akan mengepam lebih dua liter berbanding 5 liter sewaktu tidak mengandung. Keadaan ini membuatkan anda berasa kurang selesa, lesu dan tidak bermaya sepanjang masa. Jika anda berasa demikian, apabila anda mahu berbaring, cuba berbaring secara mengiring. Dengan berbaring mengiring, simpulan-simpulan urat dalam tubuh anda tidak menyekat perjalanan darah. Anda juga akan berasa tendangan kaki bayi anda dengan lebih jelas dan ketara.

Susah untuk bernafas

Pada trimester ketiga kehamilan, kebanyakan ibu hamil sukar untuk bernafas. Hal ini kerana perut yang membesar telah menekan diafragma dan keadaan ini menyebabkan anda sukar untuk menyedut udara dan sering kali berasa sebu pada ulu hati. Keadaan ini tidak berlarutan dan ia hanya untuk sementara sahaja. Apabila anda melahirkan bayi kelak, kesemua perasaan tidak selesa dan rasa sukar bernafas akan hilang begitu sahaja. Walaupun kebanyakan orang menganggap ibu hamil terpaksa makan dan bernafas untuk dua orang iaitu dirinya dan anak yang dikandung, namun yang ajaibnya hal itu tidak begitu. Ibu hamil seolah-olah mendapat kekuatan untuk berhadapan dengan masalah ini.

Tip bagi kelihatan gagah dan tangkas serta tiada masalah pernafasan ketika mengandung ialah dengan mempelajari teknik-teknik bernafas dengan betul. Yoga adalah teknik senaman dalaman yang baik untuk pernafasan ibu hamil. Selain itu, Tai Chi atau Qigong dan teknik-teknik meditasi lain boleh diamalkan. Bagi wanita Islam, anda digalakkan banyak bersembahyang dan berzikir untuk mendapat ketenangan. Apabila hati tenang maka dengan sendirinya anda akan berasa mudah untuk bernafas.

Sukarnya berjalan

Dengan perut yang sudah membesar dan payu dara yang ikut membesar, anda seolah-olah hilang upaya untuk berjalan atau menaiki tangga. Kebanyakan ibu hamil akan berasa mengah dan nafas menjadi tercungap-cungap setelah berjalan agak lama dan jauh kerana anda terpaksa membawa badan yang begitu berat dengan pertambahan cecair dalam badan. Untuk kelihatan segar dan boleh berjalan dengan cergas, elakkan daripada memakai kasut tumit tinggi yang boleh menyebabkan betis dan bahagian kaki anda terasa penat dan kejang. Pakailah kasut tanpa tumit yang lembut ataupun jika masih ingin kasut yang bertumit, pilihlah yang setinggi satu atau dua inci sahaja. Selain itu, amalan meminum susu dan sumber makanan yang kaya khasiat kalsium juga boleh menguatkan tulang dan anda tidak mudah penat jika berjalan jauh.

Bentuk payu dara lebih menawan

Jangan risau dengan penampilan diri anda yang tidak lagi menawan seperti dahulu terutamanya pada payu dara. Payu dara wanita hamil memang akan membesar sedikit sepanjang kehamilan. Jika sebelum mengandung saiz mangkuk payu dara anda ialah 34A maka sewaktu hamil, ia mungkin bertukar ke saiz mangkuk 38B atau 36C. Keadaan ini disebabkan bertambahnya pelbagai cecair dalam badan dan payu dara ekoran pertambahan bermacam-macam hormon khusus ketika mengandung.

Antara hormon-hormon tersebut ialah:
1. Estrogen - berfungsi membentuk sistem pemprosesan susu dalam payu dara
2. Progesteron - berfungsi membentuk sel pengeluaran susu dan membentuk puting susu agar lebih jelas menonjol
3. Prolaktin - berfungsi mengeluarkan kolustrum - susu berwarna kuning yang keluar pada minggu-minggu pertama kelahiran bayi. Ia amat kaya dengan antibodi yang bertindak menghalang bayi daripada terkena jangkitan penyakit.

Lebih menawan

Ada yang berpendapat bahawa wanita hamil kelihatan lebih seksi berbanding sebelum mengandung. Kenyataan ini ada benarnya kerana jika dulu anda terlalu kurus kini setelah hamil tubuh anda tambah berisi dengan dada dan punggung yang penuh. Di samping itu, sewaktu hamil anda akan mengalami perubahan pada warna dan tekstur kulit. Malah, jika anda mahu berjemur untuk mendapatkan kulit ‘tan’, inilah masa dan ketikanya. Malah, sesetengah wanita nampak lebih gebu kulitnya ketika hamil. Sebahagian wanita lain mungkin mendapati kulit pada wajah mereka menjadi sangat lembut. Bagaimanapun, hal ini bergantung kepada individu.

Ada wanita yang mengalami bintik-bintik hitam pada kulit wajah. Bagi wanita berkulit putih, kadang-kadang akan muncul bintik-bintik merah di wajah mereka. Manakala, wanita hamil yang berkulit hitam manis akan mengalami bintik-bintik yang lebih terang warnanya. Dengan wajah yang ketara lembut dan gebu, anda berhak membayangkan bahawa anda adalah wanita hamil yang istimewa. Malah, rambut wanita hamil akan menjadi bertambah lebat dan bersinar-sinar. Hal ini mungkin disebabkan perubahan hormon dalam badan. Bagaimanapun, ada wanita yang mengalami keguguran rambut dalam tempoh ini.

Berfikiran positif

Walaupun tubuh anda gagah dan sentiasa cergas, namun kadangkala mental pula yang bermasalah. Ada wanita yang cergas fizikalnya tetapi lemah apabila berhadapan dengan tanggungjawab baru ataupun perubahan hormon yang berlaku sepanjang kehamilan. Amat penting anda berfikiran positif ketika ini kerana pelbagai perubahan mendadak mungkin tidak dapat diterima oleh anda apatah lagi dengan perubahan bentuk badan. Tidak kira anda sedang hamil anak pertama, kedua ataupun yang ketujuh, anda wajar bersikap positif sentiasa. Dengan sikap yang positif dan fizikal yang cergas, anda akan kelihatan seperti “Superwoman”.

Kesimpulannya, anda sebagai wanita hamil masih boleh tampil cergas, gagah dan riang sentiasa biarpun sedang sarat mengandung. Kesemua masalah tersebut tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk anda bergaya dan sihat seperti wanita lain dan sudah tentu sekali berhak dipanggil “SUPERWOMAN”.
>

0 Tinta Kamu ...:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
-:: Tinta Mama with Love ::-